Baginda di iringi oleh kaum jin, manusia dan binatang.
Setibanya di pantai, Nabi Sulaiman terus mengintai-ngintai untuk mencari
sesuatu seperti yang dikatakan oleh Allah. Setelah lama mencari ,baginda belum
lagi menjumpai apa-apa.
Kata salah seorang daripada mereka "Mungkin tersalah
tempat". Tetapi baginda menjawab "Tidak, di sinilah tempatnya".
Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit supaya menyelam ke dalam laut untuk
meninjau apa-apa yang pelik atau ajaib. Jin Ifrit menyelam agak lama juga
barulah ia kembali kepada Nabi Sulaiman dan memaklumkan bahawa dia tidak
menjumpai apa-apa benda yang ajaib. Tanya Nabi Sulaiman "Apakah kamu
menyelam sehingga dasar laut" Jawab Jin Ifrit "Tidak". Nabi
Sulaiman pun mengarahkan Jin Ifrit yang kedua supaya menyelam sehingga ke dasar
laut.
Setelah puas menyelam dan mencari benda-benda yang di
katakan oleh Nabi Sulaiman, Jin Ifrit yang kedua juga tidak menjumpai apa-apa
yang ajaib dan ia melaporkan kepada Nabi Sulaiman. Perdana Menterinya yang
bernama Asif bin Barkhiya telah berbisik ke telinga Nabi Sulaiman dan memohon
kebenaran untuk menolongnya. Setelah mendapat izin Nabi Sulaiman, dia membaca
sesuatu dan terus menyelam ke dalam laut.
Tidak lama kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang
sangat cantik. Kubah tersebut mempunyai empat penjuru, setiap penjuru mempunyai
pintu. Pintu pertama diperbuat daripada mutiara, pintu kedua diperbuat daripada
zamrud berwarna merah, pintu ketiga diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat
diperbuat daripada zabarjad.
Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya
air tidak masuk ke dalam kubah tersebut walaupun pintunya terbuka luas. Dengan
kuasa yang diberikan oleh Allah, Asif dapat membawa kubah tersebut naik ke
darat dan diletakkan di hadapan Nabi Sulaiman.
Nabi Sulaiman melihat kubah tersebut dengan penuh takjub
di atas kebesaran Allah. Baginda berangkat untuk melihat kubah tersebut,
setelah menjenguk ke dalam di dapati ada seorang pemuda berada di dalamnya.
Pemuda tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat ke darat
kerana asyik bermunajat kepada Allah. Nabi Sulaiman memberi salam kepada pemuda
tersebut. Pemuda tersebut menyambut salam dengan perasaan terkejutnya apabila
melihat orang ramai sedang berada di situ.
Nabi Sulaiman memperkenalkan dirinya kepada pemuda itu
bahawa beliau adalah Nabi Allah Sulaiman. Pemuda itu bertanya "Dari
manakan mereka ini dan bagaimana mereka datang?". Pemuda itu merasa hairan
dan setelah menjenguk keluar dia mendapati bahawa kubahnya telah berada di
darat. Nabi Sulaiman memberitahu pemuda itu bahawa mereka datang kerana
diperintahkan oleh Allah untuk melihat keajaiban yang dikurniakan Allah
kepadanya.
Setelah mendapat izin dari pemuda itu Nabi Sulaiman
meninjau ke dalamnya untuk melihat benda yang ajaib yang dihiasi di dalamnya.
Keindahan yang terdapat di dalam kubah itu sungguh menakjubkan. Nabi Sulaiman
bertanya kepada pemuda tersebut bagaimana dia boleh berada di dalam kubah ini
yang terletak di dasar laut.
Pemuda tersebut menceritakan bahawa dia telah berkhidmat kepada kedua ibu bapanya selama 70 tahun. Bapanya seorang yang lumpuh manakala ibunya pula seorang yang buta. Suatu hari ketika ibunya hendak meninggal dunia, ibunya memanggilnya dan memaklumkan bahawa ibunya telah rela di atas khidmat yang diberikan olehnya. Ibunya berdoa kepada Allah supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat kepada Allah. Setelah ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya pula meninggal dunia.
Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah
memanggilnya dan memaklumkan bahawa dia juga telah rela di atas khidmat yang
diberikan olehnya. Bapanya telah berdoa sebelum meninggal dunia supaya anaknya
di letakkan di suatu tempat yang tidak dapat diganggu oleh syaitan.Doa kedua
dua orang tuanya telah dimakbulkan oleh Allah.
Pada suatu hari ketika pemuda tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia terlihat sebuah kubah yang sedang terapung-apung di tepi pantai. Ketika pemuda tadi menghampiri kubah tersebut . Ada suara menyeru supaya pemuda itu masuk ke dalam kubah tersebut. Sebaik sahaja ia masuk kubah dan meninjau di dalamnya tiba-tiba ia bergerak dengan pantas dan tenggelam ke dasar laut. Tidak lama kemudian muncul satu lembaga seraya memperkenalkan bahawa dia adalah malaikat yang di utuskan Allah.
Malaikat itu memaklumkan bahawa kubah itu adalah kurniaan Allah kerana khidmatnya kepada orang tuannya dan beliau boleh tinggal di dalamnya selama mana dia suka, segala makan dan minum akan dihidangkan pada bila-bila masa ia memerlukannya. Malaikat itu memaklumkan bahawa dia diperintahkan Allah untuk membawa kubah tersebut ke dasar laut.
Semenjak dari itu pemuda tersebut terus bermunajat kepada Allah sehingga hari ini. Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda itu "Berapa lamakah kamu berada di dalam kubah ini" Pemuda itu menjawab "Saya tidak menghitungnya tetapi ia mula memasukinya semasa pemerintahan Nabi Allah Ibrahim a.s lagi". Nabi Sulaiman menghitung ". Ini bermakna kamu telah berada di dalam kubah ini selama dua ribu empat ratus tahun". Nabi Sulaiman berkata "Rupa mu tidak berubah malah sentiasa muda walaupun sudah dua ribu empat ratus tahun lamanya". Nabi Sulaiman bertanya pemuda itu samada dia mahu pulang bersamanya". Jawab pemuda tadi "Nikmat apa lagi yang harus aku pinta selain daripada nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada ku ini". Nabi Sulaiman bertanya"Adakah kamu ingin pulang ke tempat asal mu" Jawab pemuda itu "Ya, silalah hantar aku ke tempat asalku". Nasi Sulaiman pun memerintahkan Perdana Menterinya membawa kubah tersebut ke tempat asalnya.
Setelah kubah tersebut diletakkan ke tempat asal, Nabi Sulaiman berkata kepada kaumnya "Kamu semua telah melihat keajaiban yang dikurniakan oleh Allah. Lihatlah betapa besar balasan yang Allah berikan kepada orang yang taat kepada orang tuanya dan betapa seksanya orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya". Nabi Sulaiman pun berangkat pulang ke tempatnya dan bersyukur kepada Allah Taala kerana telah memberi kesempatan kepadanya untuk menyaksikan perkara yang ajaib.
Renungan
Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “ Redha Allah
bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka
kedua-dua ibu bapa.” (Riwayat al-Hakim)
Pengajaran
i)
Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu
bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan
tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.
ii)
Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup
anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa
adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak.
iii)
Di antara adab yang mesti dipraktikkan
sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan
mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan
sebaik-baiknya.
iv)
Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah
meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan
kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar
mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu
bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu,
membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat
mereka.
v)
Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah
mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu
bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang
derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar
Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah. “Sesiapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah habuannya dan Allah akan memanjangkan (pula) umurnya.” (Hadis riwayat Abu Ya’la, at-Thabrani, as-Syaibani dan al-Hakim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan