SELAMAT DATANG KE BLOG AKTIVITI B&K SK PANGKALAN TLDM LUMUT PERAK..BLOG INI ADALAH UNTUK AKTIVITI MURID SKPTLDM. UNTUK KE BLOG RASMI BIMBINGAN DAN KAUNSELING SILA KLIK DISINI---> WWW.BKSKPTLDM1.BLOGSPOT.COM TERIMA KASIH

Isnin, 11 Oktober 2021

MINDA SIHAT:Pentingnya Ada Kawan-Kawan

 Pentingnya Ada Kawan-Kawan

Kawan-kawan amat penting bagi makhluk sosial seperti manusia. Orang yang ramai kawan biasanya hidup ceria dan jarang mengalami masalah kemurungan.

Kajian mendapati mereka yang sering bertemu dan bermesra dengan kawan-kawan mendapat kesan yang tidak kurang baiknya untuk kesihatan sama dengan bersenam.

Amat rugi mereka yang menjadi kera sumbang asyik terperap di rumah tanpa menyambung silaturahim bersama kawan-kawan.

Walau apapun halangan yang kita hadapi pastikan kita istiqamah berkawan kerana terlalu banyak manfaatnya mengekalkan perhubungan dengan kawan-kawan di mana saja kita berada.

Selain daripada berkongsi kegembiraan, jangan lupa juga untuk berkongsi masalah bersama kawan-kawan.

Kita tentu punyai beberapa orang kawan rapat yang jujur dan setia mendengar sebarang cerita dari kita samada yang menggembirakan maupun yang menyedihkan.

Apabila kita berkongsi masalah dengan kawan-kawan, tidak semestinya mereka dapat membantu kita menyelesaikan masalah melainkan kita sendirilah yang perlu selesaikannya.

Namun begitu dengan hanya berkongsi masalah dengan mereka yang sanggup mendengar dengan ikhlas, separuh daripada masalah kita sudah selesai.

Sekurang-kurangnya kita berasa lega dapat meluahkan apa yang terpendam dan berlegar-legar di dalam kepala kita.

Jangan berlagak sempurna

Satu perkara penting dalam berkawan adalah jangan berlagak seolah-olah kita sempurna.

Sikap yang begitu membuatkan kawan-kawan menjauhi kita kerana biasanya orang yang sebegitu ada sikap yang sedikit berlagak ‘macam bagus’.

Tak ramai orang yang sukakan manusia sebegitu.

Apabila kita mengakui bahawa kita manusia yang banyak kekurangan, maka mudahlah kita merendahkan diri untuk menceritakan masalah kita samada masalah peribadi atau apa-apa saja masalah kehidupan.

Eratkan perhubungan

Ada orang yang merasakan mereka tidak perlu berkongsi masalah bersama kawan-kawan atas alasan tidak mahu menyusahkan mereka.

Lalu kita pendamkan sahaja dalam hati keseorangan sehingga ia menjadi racun yang memakan diri. Anda tentu terkejut apabila kawan-kawan sebenarnya amat gembira apabila kawannya sanggup berkongsikan masalah kehidupannya dengan mereka.